YEO Tung Siong (dua kiri) diarahkan keluar oleh Speaker DUN Johor. FOTO Hairul Anuar Rahim
YEO Tung Siong (dua kiri) diarahkan keluar oleh Speaker DUN Johor. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Dewan Undangan Negeri Johor hari ini menolak usul ahli parti pembangkang bagi menubuhkan jawatankuasa untuk memantau dan menyiasat skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz menyatakan penubuhan jawatankuasa berkenaan yang diusul oleh Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nanas) ditolak kerana ia boleh mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keputusan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan 10 ahli dewan undangan negeri yang mewakili parti pembangkang hingga masing-masing mencelah dan menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memberi penjelasan berkaitan skandal rasuah.

Provokasi melampau yang mencetuskan kekecohan hampir 12 minit menyebabkan Yeo diarah meninggalkan Dewan.

Arahan itu selepas dikeluarkan selepas speaker dewan negeri memberi amaran lisan berulang kali kerana tindakan Yeo mencelah dan melakukan provokasi selepas keputusan menolak usul dikemuka itu di Mesyuarat Keempat Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 12:30 PM