PEMBANGKANG mengundi menolak usul pelantikan Abdul Halim sebagai Ahli Dewan Negara pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
PEMBANGKANG mengundi menolak usul pelantikan Abdul Halim sebagai Ahli Dewan Negara pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Fairuz Zaidan dan Amir Mamat


GABUNGAN kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini diuji apabila usul yang dibawa Ketua Menteri, Adly Zahari bagi mencadangkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara gagal mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Ia susulan, usul berkenaan yang dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14, di Seri Negeri, hari ini hanya meraih 12 undi berbanding 13 yang menolak.

Kegagalan usul berkenaan berikutan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Datuk Ginie Lim Siew Lin, kedua-duanya dari PKR bertindak keluar dewan sebelum usul berkenaan dibacakan.

Sementara, seorang lagi ADUN Gadek dari DAP, G Saminathan tidak hadir kerana dipercayai terbabit dalam kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Untuk rekod, kerajaan PH Melaka ketika ini mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan lapan dari DAP, PKR (tiga) dan masing-masing dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pembangkang pula mempunyai 13 kerusi DUN yang kesemuanya dari UMNO.

Berikutan situasi yang berlaku, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron bangun mengusulkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh sebagai calon baharu dengan harapan mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Bagaimanapun usul berkenaan tidak diterima Speaker, Datuk Wira Omar Jaafar selepas Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas memaklumkan bahawa usul lain tidak boleh dikemukakan berdasarkan Peraturan 17(10) DUN.

Mengulas mengenai perkara itu, Adly menyifatkan keadaan berkenaan sebagai sesuatu yang di luar jangka.

Malah, ia tidak pun pernah dibincangkan dalam kalangan ADUN PH, sebelum ini.

“Saya tidak menjangkakan keputusan ini, namun saya tidak nampak ada unsur-unsur sabotaj.

“Saya akan mendapatkan pandangan daripada mereka (ADUN PKR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 6:38 PM