FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Amir Mamat


Ayer Keroh: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka hari ini, meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.

Usul itu dibentang Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan menetapkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar daripada parti disertai mereka ketika pilihan raya, perlu mengosongkan kerusi dimenangi itu.

Bagaimanapun, pada pindaan terbabit, Adun berkaitan boleh menyertai pilihan raya berbanding sebelum ini yang menetapkan mereka menunggu selama lima tahun untuk membolehkan mereka bertanding semula dalam pilihan raya.

Ab Rauf berkata, pindaan dalam Perlembagaan Negeri Melaka itu membabitkan beberapa perkara baharu termasuk pertukaran parti politik oleh Adun yang layak mengikut Perkara 12, disenaraikan dalam Perkara 13A bahawa mereka akan kehilangan kelayakan sebagai ahli Dewan.

"Mana-mana Adun yang melepaskan keahliannya, boleh untuk bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya sebagai Adun.

"Tiada sebarang implikasi kewangan yang diperlukan bagi tujuan pindaan enakmen ini," katanya ketika membentangkan usul pada sidang berkenaan.

Usul itu mendapat sokongan semua Adun yang hadir, termasuk dua wakil pembangkang.

Ab Rauf berkata, selepas pindaan ini dikuatkuasakan, mana-mana Adun yang melompat parti sehingga menyebabkan terlucut jawatannya sebagai Adun, tidak lagi disekat untuk bertanding semula dalam pilihan raya.

"Kerajaan negeri turut mengambil langkah untuk meminda Perlembagaan Negeri Melaka bagi menyelaraskan undang-undang Negeri Melaka dengan undang-undang di peringkat Persekutuan. Ini juga bagi membawa dimensi baharu dalam politik tanah air kita.

"Serentak itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) meluluskan cadangan Pindaan Perkara 6 dan 7A Perlembagaan Negeri Melaka berkenaan dan kuat kuasa undang-undang anti lompat parti pada 14 Jun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 4:26 PM