PEMANDANGAN Bandaraya Kuala Lumpur. Foto MUHD ZAABA ZAKERIA.
PEMANDANGAN Bandaraya Kuala Lumpur. Foto MUHD ZAABA ZAKERIA.
Hidayatul Akmal Ahmad


KAJIAN terhadap kos sara hidup di negara ini menunjukkan peningkatan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mahal untuk didiami khususnya bagi ekspatriat.

Berdasarkan kajian terbabit, Bandaraya Kuala Lumpur meningkat naik sebanyak 24 anak tangga menjadikannya berada pada kedudukan ke-188.

Ia menjadikannya bandar di negara ini yang berada di kedudukan teratas dalam indeks oleh ECA International yang menjalankan dua kajian utama setiap tahun merangkumi barangan dan perkhidmatan pengguna yang menjadi pilihan di lebih 450 lokasi di seluruh dunia.

Pengarah ECA International Asia Lee Quane berkata, tiga lokasi yang dikaji di Malaysia menyaksikan peningkatan besar di lebih daripada 20 tempat kos hidup.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia kekal sebagai salah satu lokasi yang paling murah di Asia bagi pekerja asing.

“Tetapi Kuala Lumpur kini lebih mahal untuk pekerja asing berbanding lokasi yang menduduki tempat yang lebih tinggi dalam kedudukan pada 2017, seperti New Delhi, Manila dan Mumbai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kajian kos sara hidup ECA International tidak mengambil kira barangan dan perkhidmatan seperti kos menyewa, utiliti, pembelian kereta dan yuran sekolah yang biasanya dilindungi elaun pekerja yang berasingan.

Sementara itu, Singapura kembali ke 20 lokasi paling mahal di dunia untuk pekerja asing, menduduki tempat ke-18 bandar paling mahal.

Di Asia, ia adalah lokasi kesembilan yang paling mahal sejak 2016.

Quane berkata, prestasi kukuh dolar Singapura pada tahun ini menyumbang kepada kemajuan negara itu.

“Bagaimanapun, kos sara hidup masih di bawah lokasi Asia lain dengan populasi pekerja asing besar seperti Hong Kong, Tokyo dan Shanghai,” katanya.

Hong Kong menduduki tempat kedua paling mahal di Asia dan keenam di dunia, sementara lokasi paling murah bagi pekerja asing di seluruh dunia adalah Ashgabat, ibu kota Turkmenistan.

Ashgabat melonjak dari tempat ke-146 pada 2017 ke tempat teratas, tahun ini di tengah krisis ekonomi yang meruncing. Eropah, Switzerland dan Scandinavia terus mendominasi senarai lokasi negara paling mahal.

Geneva adalah lokasi paling mahal di Eropah dan kedua paling mahal di dunia, diikuti Zurich, Basel dan Bern.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 8:51 PM