KUALA LUMPUR  kini menjadi lokasi ke-175 termahal di dunia dan ke-35 di Asia untuk ekspatriat.
KUALA LUMPUR kini menjadi lokasi ke-175 termahal di dunia dan ke-35 di Asia untuk ekspatriat.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur kini menjadi lokasi ke-175 termahal di dunia dan ke-35 di Asia untuk ekspatriat, berdasarkan kajian dijalankan oleh ECA International.

Pengarah Serantau ECA International Asia, Lee Quane berkata, kemerosotan kedudukan yang berlaku di Asia adalah kerana kadar inflasi yang lebih rendah berbanding rantau lain, sebagaimana banyak lokasi lain di Asia yang turut berdepan penurunan dalam ranking berkenaan.

"Georgetown, Kota Kinabalu, dan Johor Bahru juga mengalami kejatuhan dalam kedudukan iaitu masing-masing pada kedudukan ke-189, ke-195 dan ke-198," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, di Asia Tenggara, Singapura mengekalkan kedudukan yang ketara dalam ranking iaitu pada tempat pertama, seterusnya melebarkan jurang antara negara serantaunya.

"Bangkok, bandar kedua termahal di rantau ini selepas Singapura, tetapi jatuh 13 tempat untuk menjadi lokasi ke-60 termahal di dunia.

"Walaupun kadar pertumbuhan harga yang agak tinggi, kedudukan Bangkok masih merosot.

"Baht melemah berbanding mata wang utama dalam tempoh 12 bulan lalu, menjadikannya lebih murah daripada banyak lokasi.

"Corak yang sama disaksikan di lokasi Asia Tenggara lain yang sederhana hingga kadar inflasi yang tinggi diimbangi oleh mata wang yang lebih lemah," katanya.

Katanya, bandar lain di rantau Asia, Manila jatuh sembilan anak tangga ke tangga ke-75 (untuk Asia), manakala Jakarta turun 22 anak tangga ke kedudukan ke-114 (untuk Asia).

Sementara itu, kedudukan Hong Kong turut merosot satu anak tangga menjadikannya lokasi kedua termahal di dunia, selepas New York.

"Kos bagi barangan dan perkhidmatan di Hong Kong meningkat setiap tahun menunjukkan bahawa bandar itu tidak terhindar daripada gelombang inflasi yang teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 6:01 AM