KUALA Lumpur muncul bandar raya yang mencatatkan kos sara hidup paling murah di Asia Tenggara untuk pekerja antarabangsa.

Berdasarkan Kaji Selidik Kos Sara Hidup Tahunan 2021 Mercer, Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-152 sebagai bandar raya paling mahal di dunia berbanding kedudukan ke-144 pada tahun lalu.

Menurut senarai dikeluarkan, bandar lain di Asia Tenggara berada di kedudukan lebih atas yang menunjukkan kos sara hidup lebih mahal berbanding Kuala Lumpur.

Dalam senarai itu, Singapura berada dalam senarai 10 bandar termahal di kedudukan keenam, menjadikannya bandar termahal untuk didiami di Asia Tenggara.

Selain itu, Bangkok berada di kedudukan ke-46 manakala Manila (78), Jakarta (104), Bandar Seri Begawan (122), Phnom Penh (125), Hanoi (139) dan Ho Chi Minh City (143).

Pemimpin Mobiliti Global, Asia Pasifik Mercer, Julia Radchenko berkata, senarai berkenaan menjadi panduan untuk syarikat di seluruh rantau Asia Pasifik menilai secara aktif strategi bakat dan mobiliti mereka berdasarkan cabaran kompleks yang dihadapi akibat Covid-19.

"Syarikat sedar mereka perlu mempelbagaikan senario mobiliti dan amalan pampasan yang berkaitan.

"Ia bukan saja lagi mengenai mobiliti geografi, malah membabitkan mobiliti bakat yang menyebabkan pergerakan, agihan tenaga kerja, mobiliti geografi, kerja jarak jauh antarabangsa atau tugasan maya.

"Apa yang kami lihat ialah syarikat menggunakan lebih banyak fleksibiliti untuk menampung situasi peribadi berbeza pekerja.

"Secara umum, syarikat kini lebih terbuka terhadap pengaturan kerja jarak jauh antarabangsa, yang memungkinkan majikan melakukan peranan yang sama sekiranya mereka berpindah.

"Pengaturan kerja jarak jauh antarabangsa membawa kerumitan lain seperti menentukan pampasan yang tepat dan sama ada pengaturan dapat menghasilkan sepenuhnya kepentingan serta kesan mengambil seseorang bekerja di pasaran tertentu," katanya.

Radchenko berkata, perubahan mata wang yang tidak menentu dan deflasi menjadikan bandar di Asia Tenggara berdepan penurunan kedudukan dalam senarai.

Kaji selidik itu turut mendapati negara di rantau Asia masih menguasai kedudukan bandar raya paling mahal meskipun wujud perubahan ketara di mana bandar raya paling mahal adalah Ashgabat, Turkmenistan, yang sebelum ini ditakluki Hong Kong selama tiga tahun.

Tokyo kini menduduki tempat keempat dan diatasi Beirut, Lebanon yang melonjak 42 anak tangga ke kedudukan ketiga.

Lebih separuh daripada 10 bandar raya paling mahal terletak di Asia dengan Shanghai dan Beijing masing-masing menduduki tempat keenam dan kesembilan naik satu anak tangga berbanding tahun lalu, sementara Singapura beralih dari tempat kelima ke tangga ketujuh.

Bandar raya lain yang turut berada dalam 10 bandar raya paling tinggi kos untuk pekerja antarabangsa ialah Zurich (5), Geneva (8) dan Bern (10).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:01 AM