Tinjauan kenaikan harga telur ayam Jumaat lalu yang mencecah sepapan, gred A (RM13.19), gred B (RM12.89) dan gred C (RM12.59) yang di jual di pasaraya MYDIN Mall, Pulau Sebang. FOTO Rasul Azli Samad
Tinjauan kenaikan harga telur ayam Jumaat lalu yang mencecah sepapan, gred A (RM13.19), gred B (RM12.89) dan gred C (RM12.59) yang di jual di pasaraya MYDIN Mall, Pulau Sebang. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Lela Zulkipli


KERAJAAN memberi jaminan harga telur ayam yang mengalami kenaikan ketara baru-baru ini kembali stabil bermula hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, harga telur ayam dari setiap gred akan kembali diturunkan sebanyak 2 sen selepas dipersetujui bersama Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) pada Jumaat lalu.

“Pengeluar telur ayam bersetuju untuk mengurangkan harga telur di peringkat ladang sebanyak 2 sen bagi menstabilkan harga telur di pasaran.

“Ini juga bagi memastikan bekalan telur ayam di pasaran mencukupi menjelang musim perayaan ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kenaikan berkenaan berpunca daripada kematian ayam di beberapa ladang yang disyaki dijangkiti virus avian influenze H5 dan H7 (selesema burung).

“Ladang ayam yang berdepan masalah kematian ayam yang tinggi sebelum ini tidak dibenarkan menjual telur sehingga siasatan dan keputusan makmal mengesahkan tiada jangkitan penyakit.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku pengurangan bekalan telur 3 peratus, namun siasatan menunjukkan ladang ayam berkenaan bebas dari jangkitan selsema burung seperti yang dilaporkan.

“Kematian ayam yang dilaporkan hanyalah berpunca daripada penyakit ayam yang sering menyerang haiwan berkenaan,” katanya.

Menurut Salahuddin, kenaikan harga bahan mentah itu juga berpunca kepada kenaikan kadar tukaran wang asing pada November lalu.

“Ini memberi kesan kepada kenaikan bahan makanan ternakan yang diimport seterusnya meningkatkan kos pengeluaran telur dan harga naik sebanyak lima peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:16 PM