FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI warga emas terkejut mendapati kediamannya yang disita mahkamah di simpang Batang Benar, Mantin, Nilai cuba dibakar oleh individu tidak dikenali, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian pada 8 pagi itu disedari pemiliknya yang berusia 64 tahun selepas dimaklumkan anaknya.

Katanya, ketika berada di rumah di Taman Mantin, mangsa dimaklumkan anak lelakinya terdapat kesan terbakar pada dinding kediaman yang ditinggalkan itu lalu bergegas untuk memeriksanya.

“Sebaik tiba, mangsa mendapati dinding dan tingkap di belakang rumah yang dibuat daripada papan itu mempunyai kesan terbakar dan turut menjumpai kesan minyak tanah.

“Mengesyaki ia perbuatan khianat, mangsa membuat laporan di Balai Polis Mantin pada 10.05 pagi (semalam),” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, siasatan mendapati rumah separa konkrit itu yang dibina pada 1975 disita Mahkamah Seremban, Selasa lalu kerana dibangunkan di tanah yang bukan miliknya.

“Kunci kediaman sudah diserahkan kepada pihak mahkamah dan ia dalam proses untuk dirobohkan. Ketika kejadian warga emas terbabit sudah berpindah ke Taman Mantin,” katanya rumah kosong itu tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV).

“Siasatan polis mendapati punca kebakaran disebabkan helaian surat khabar yang dinyalakan diselitkan di bahagian dinding. Kebakaran itu tidak serius dan berkemungkinan api yang dinyalakan padam sebelum marak,” katanya.

Menurutnya, anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut berada di lokasi bagi siasatan lanjut dan cebisan surat khabar yang ditemui dibawa ke makmal untuk dianalisa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 3:39 PM