Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS daerah Nilai membongkar kegiatan sindiket menawarkan khidmat cukai jalan dan insurans palsu kepada pemilik kenderaan melalui Facebook.

Kegiatan itu dibongkar Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai susulan penahanan lelaki berusia 38 tahun yang juga pemilik kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan cukai jalan dan insurans palsu di Jalan Mekanikal, Nilai 3, Nilai, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pihaknya melakukan operasi mengesan penggunaan cukai jalan palsu selain penguatkuasaan terhadap pemandu van dan bas sekolah di daerah itu.

Katanya, dalam operasi jam 5 petang itu, anggota terserempak sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux mencurigakan dan menahannya untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan menggunakan ‘Mobile Computerized On-Line Payment System’ (MCOPS) mendapati tempoh cukai jalan dan insurans kenderaan itu tamat 23 Mac tahun lalu.

“Namun pemeriksaan pada cukai jalan yang tertera di cermin kenderaan mendapati ia sah sehingga 24 April ini.

“Mengesyaki cukai jalan itu palsu, pemandu dan kenderaan dibawa ke IPD Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, soal siasat ke atas lelaki itu yang juga peniaga kedai makan mendapati dia mengaku menggunakan cukai jalan serta insurans palsu.

“Lelaki berkenaan memberitahu dia menggunakan perkhidmatan membuat cukai jalan dan insurans menerusi Facebook dan semua urusan bayaran dilakukan secara atas talian sebelum dokumen itu dipos ke alamat rumah pelanggan,” katanya.

Katanya, sindiket dipercayai menawarkan dokumen itu bagi kenderaan yang bermasalah untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Harga yang ditawarkan sama dengan harga sebenar iaitu RM800 untuk cukai jalan dan RM900 untuk insurans bagi kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 108 (3) (e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pihaknya menganggarkan puluhan pemilik kenderaan di daerah itu menggunakan cukai jalan dan insurans palsu dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 10:11 PM