Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Walaupun usianya hampir mencecah 100 tahun, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat Mariam Daud, 98, untuk turut menyertai pertandingan memancing yang diadakan di penempatannya di Kampung Perangkap, di sini, hari ini.

Mariam yang mengenakan kain sarung lama, bersemangat membawa joran yang diperbuat daripada dahan pokok salak seawal jam 7.30 pagi, untuk mendaftar bersama anaknya, Sepiah Awang, 70.

Dia yang mempunyai dua anak dan tujuh cucu, menyertai pertandingan itu memandangkan lokasi tali air tempat bertanding adalah berdekatan dengan kediamannya selain mempunyai minat mendalam dengan aktiviti 'mengail' ikan

"Sebenarnya, memancing ikan adalah hobi saya sejak daripada muda lagi, malah orang kampung sudah biasa melihat saya di sawah atau tali air bersama joran untuk menangkap ikan. Hasil tangkapan biasanya dibuat makan sendiri atau diberi kepada jiran.

MARIAM (kiri) bersama anaknya Sepiah hadir ketika ditemui di Pertandingan Memancing secara Tradisional di tali air Kampung Perangkap. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MARIAM (kiri) bersama anaknya Sepiah hadir ketika ditemui di Pertandingan Memancing secara Tradisional di tali air Kampung Perangkap. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Untuk pertandingan hari ini, saya menggunakan umpan belalang yang dicari oleh anak pada awal pagi tadi. Alhamdulillah, selepas satu jam mencuba nasib, kami sudah mendapat seekor ikan keli.

"Saya gembira melihat ramai penduduk turut sama menyertai pertandingan memancing tidak kira lelaki atau wanita dengan pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak," katanya ketika ditemui di Pertandingan Memancing secara Tradisional di tali air Kampung Perangkap, di sini, hari ini.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Keluarga Mek Gayah (KMG) yang disertai oleh lebih 200 penduduk dari Kampung Perangkap, Bunut Susu, di sini, dan penempatan sekitar.

Pihak penganjur turut melepaskan 200 ekor ikan keli, patin dan puyu selain menyediakan hadiah kepada lima pemenang dengan mengira jumlah berat ikan yang diperoleh peserta sepanjang empat jam memancing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 1:29 PM