AHLI keluarga melawat Muhammad Adib Mohd Kassim yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) berikutan kes anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman. FOTO NSTP
AHLI keluarga melawat Muhammad Adib Mohd Kassim yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) berikutan kes anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman. FOTO NSTP
Faris Fuad


KEMENTERIAN Kesihatan dan Institut Jantung Negara (IJN) masih dalam proses untuk menyediakan laporan perubatan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbabit dalam insiden rusuhan kuil, kelmarin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya yakin ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, laporan itu penting bagi mengenal pasti tahap dan punca kecederaan dialami mangsa.

“Kita sedang berkomunikasi dengan IJN.

“Kes ini berprofil tinggi, ketika ini lebih baik jangan membuat sebarang spekulasi terutama di media sosial.

“Lebih baik merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Pasukan perubatan yang ditugaskan untuk merawat mangsa pula mempunyai pengalaman lebih 10 tahun, mereka bekerja keras setiap hari.

“Di samping itu, kita harap rakyat Malaysia mendoakan mangsa cepat sembuh,” katanya pada sidang media selepas menziarahi Muhammad Adib di IJN, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub.

Semalam, NSTP melaporkan dakwaan pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman yang menyatakan Muhammad Adib cedera akibat dilanggar jentera bomba.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman berkata, lapan anggota yang berada di lokasi menyaksikan sendiri kejadian sebenar yang menyebabkan mangsa parah.

“Anggota bomba yang dibulatkan di dalam gambar berkenaan bukannya Adib, sebaliknya anggota berkenaan adalah Mohd Hazim Mohd Rahimi yang menaiki jentera itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Azhari berkata, mangsa dikategorikan sebagai pesakit kritikal namun berada keadaan stabil.

“Keadaan pesakit positif, kita pantau dia dari semasa ke semasa.

“Kita akan keluarkan kenyataan nanti,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 11:34 AM