FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Nurazlinee Azmi


PERMOHONAN kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi tahun 2019 dilanjutkan sehingga 4 Disember ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi masa dan peluang kepada pelajar berkelayakan membuat permohonan ke MRSM sejurus mendapat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok.

Beliau berkata, bagi pelajar tingkatan empat, tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan berdasarkan tarikh pengumuman keputusan rasmi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Sebelum ini MRSM membuka permohonan secara atas talian bermula 12 September hingga 30 November lalu.

“Bagaimanapun MRSM melanjutkan tarikh permohonan supaya ibu bapa dapat membuat permohonan untuk anak-anaknya selain dapat membuat persiapan sebelum pendaftaran pada 14 Januari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Walkabout di RBO@KPLB sempena Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018), di Kuala Lumpur, hari ini.

Rina berkata, sehingga 26 November lalu permohonan kemasukan ke Tingkatan Satu berjumlah 69,261 pemohon manakala tingkatan empat, 23,082 pemohon.

“Kuota maksimum pengambilan pelajar baharu di 54 MRSM bagi tahun depan adalah 7,760 bagi tingkatan satu manakala sebanyak 2,245 tempat untuk tingkatan empat.

“Semakan keputusan kemasukan ke MRSM bagi sesi kemasukan 2019 boleh dilakukan secara atas talian bermula pada 21 Disember depan melalui portal rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA) manakala pendaftaran kemasukan tingkatan satu bermula pada 14 Januari 2019,” katanya.

Beliau berkata, ia membolehkan ibu bapa membuat persediaan lebih awal selain mengelakkan timbulnya masalah proses pertukaran sekolah apabila mendapat tawaran ke MRSM.

Katanya, MARA pula akan mengadakan program ‘outreach’ dengan menyasarkan pelajar dari kumpulan B40 terutamanya di kawasan luar bandar melalui program Road To MRSM.

“Ia merangkumi sesi Taklimat Khas Kemasukan ke MRSM di sekolah terpilih seluruh negara juga akan diadakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 3:42 PM