ASYRAF Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP.
ASYRAF Wajdi Dusuki. FOTO Arkib NSTP.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mempertimbangkan permohonan kemasukan anak perwira tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia berdasarkan pengorbanan pegawai polis yang menjadi korban tragedi terbabit 10 tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya juga berbangga dengan anak sulung Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat iaitu Noorakmal Amiruddin Zulkifli, 15, yang memilih untuk belajar di MRSM.

"Kita mendapat gambaran sebenar cerita daripada ibunya, (Nooraziah Noor, 38) dan banyak pihak yang tampil memberi bantuan termasuk Mara yang menyatakan komitmen untuk membantu apabila tiba masa.

"Sekarang Noorakma sudah tingkatan tiga dan dia memaklumkan hasrat belajar di MRSM. Justeru dia boleh membuat permohonan kemasukan pada September ini (untuk kemasukan tahun depan) dan melalui prosedur sebelum memaklumkan kepada kita untuk perhatian serius," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Mara, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Razlan Samsuri.

Katanya, dalam usaha itu, remaja itu juga pastinya akan menjalani prosedur ditetapkan termasuk menjalani Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) sebelum ia akan diambil tindakan lanjut.

"Kita mempunyai kriteria termasuk minimum untuk kemasukan dan semua pelajar perlu melaluinya. Mereka boleh membuat permohonan dan maklum kepada kita," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, isteri kepada Allahyarham Zulkifli, pegawai polis yang menjadi korban tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih sedekad lalu, menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya.

Nooraziah mendakwa sebelum ini, ada pihak, termasuk agensi kerajaan seperti Mara menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.

Katanya, meskipun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi, beliau masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan oleh pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 2:33 PM