MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun (tengah) meluangkan masa untuk melihat proses pendaftaran pelajar baru sempena pendaftaran pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun (tengah) meluangkan masa untuk melihat proses pendaftaran pelajar baru sempena pendaftaran pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


KIRA-kira 62 peratus daripada 7,628 pelajar Tingkatan Satu yang memulakan sesi persekolahan baharu tahun ini di 54 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara berasal dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah itu adalah lebih tinggi daripada disasarkan iaitu sekitar 60 peratus kemasukan pelajar Tingkatan Satu daripada keluarga B40 ke MRSM.

“Pada hari ini, 7,628 pelajar tingkatan satu berdaftar bagi memulakan sesi persekolahan baharu di MRSM seluruh negara dan 62 peratus daripadanya adalah keluarga golongan B40.

“Malah untuk sesi persekolahan baharu tahun ini juga, kami meluluskan kira-kira 300 permohonan rayuan pelajar untuk memasuki institusi ini,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke MRSM Sungai Besar, Selangor, hari ini.

Seramai 180 pelajar Tingkatan Satu mendaftarkan diri hari ini di MRSM Sungai Besar yang menerapkan program Ulul Albab.

Rina berkata, pada tahun ini juga, kira-kira 3,000 pelajar MRSM terpilih daripada Tingkatan Satu hingga lima di seluruh negara menerima manfaat di bawah Program Bantuan Untuk Pendidikan (Budi).

Katanya, pelajar yang terpilih adalah mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan mendapat keputusan sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Menerusi program Budi, pelajar terbabit akan menikmati manfaat antaranya wang saku setiap bulan, pengecualian bayaran wang caruman serta menerima peruntukan RM1,500 setahun bagi membeli barangan kelengkapan persekolahan.

“Diharap, mereka yang mendapat manfaat dalam program ini mampu mencipta kecemerlangan dan seterusnya membantu keluarga mereka kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 5:45 PM