104,000 permohonan ke MRSM tahun depan.
104,000 permohonan ke MRSM tahun depan.
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Lebih 104,000 permohonan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tahun 2024 direkodkan bagi mengisi sebanyak 8,679 tempat kekosongan di seluruh negara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jumlah terbabit termasuk bagi mengisi kekosongan di MRSM terbaharu iaitu di MRSM Ranau dan MRSM Bintulu, Sarawak.

Katanya, Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) akan bermula pada 1 November depan.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan kemasukan pelajar ke MRSM akan menepati matlamat yang ditetapkan MRSM.

"Insya-Allah, saya sendiri akan pastikan kemasukan pelajar ke MRSM menepati matlamat yang disasarkan sejak dari awal.

"Ini termasuk mengutamakan pelajar-pelajar dalam kalangan B40 yang layak dan mencapai tahap minimum penilaian UKKM," katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan dakwaan pengambilan pelajar ke MRSM tidak mempunyai kuota atau keutamaan akan diberikan kepada alumni MRSM.

"Tidak ada kuota alumni (pengambilan pelajar ke MRSM)," katanya.

Asyraf juga menafikan persoalan bahawa MRSM mengutamakan pengambilan pelajar ke MRSM daripada kalangan anak orang menteri dan orang berkepentingan.

"Tidak betul. Anak saya sendiri pun tidak dibenarkan masuk ke MRSM walaupun lulus UKKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 2:00 PM