RINA (kanan) menyerahkan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada Muhammad Aiman. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
RINA (kanan) menyerahkan surat tawaran kemasukan ke MRSM kepada Muhammad Aiman. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Siti Sofia Md Nasir


“SAYA berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan kecewakan ibu dan ayah,” kata Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri, yang memperoleh tawaran kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), hari ini.

Muhammad Aiman,12, berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan akan menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun di kediamannya di Nibong Tebal bagi penyerahan surat tawaran ke MRSM.

"Saya tidak sangka langsung beliau akan datang bagi surat tawaran MRSM. Saya anggap ini seperti impian jadi kenyataan," katanya.

Terdahulu, Rina menyampaikan surat tawaran ke MRSM Transkrian kepada Muhammad Aiman, sumbangan kewangan serta bantuan kelengkapan persekolahan.

NSTP sebelum ini melaporkan Muhammad Aiman yang memperolehi 6A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini, gagal ditempatkan di MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Anak sulung daripada dua beradik itu satu-satunya murid yang memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai dan mempunyai impian memasuki sekolah lebih baik bagi membantu keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sementara itu, Rina berkata, Aiman sebenarnya terpilih untuk menerima tawaran kemasukan ke MRSM, namun namanya masih berada dalam senarai menunggu berikutan pihak MRSM masih mengemaskini data pelajar.

"Saya harap kemasukan Muhammad Aiman ke MRSM dapat membantu mengubah nasib keluarganya, selain dapat mencapai cita-cita beliau yang ingin menjadi juruterbang," katanya.

Berita berkaitan:

  • Hasrat Aiman terencat
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 2:50 PM