MAHDZIR Khalid (tengah) menyerahkan mesin hemodiaalisis sumbangan amal Pelitawanis TNB kepada Pengarah  Hospital Kuala Nerang, Dr  Muhammad Shauqi Abdul Kadir (kanan). FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR Khalid (tengah) menyerahkan mesin hemodiaalisis sumbangan amal Pelitawanis TNB kepada Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Muhammad Shauqi Abdul Kadir (kanan). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebelum ini, iaitu tanpa mengira aliran sekolah selaras dengan konsep 'Keluarga Malaysia'.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khali berkata, cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini, tidak akan diguna pakai selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama wakil Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM dikembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini, bagi memberi peluang semua pelajar memohon.

"Ini bermaksud semua pelajar dari Sekolah Agama (Bantuan Kerajaan), SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) juga boleh memohon kemasukan ke MRSM.

"Semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang dengan proses pemilihan akan dibuat berdasarkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar ke maktab itu sentiasa tinggi.

"Begitu juga dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan. Kita berterima kasih kepada masyarakat di luar yang memberi pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi sistem pendidikan di MRSM.

"Bagaimanapun, MRSM hanya mampu menampung 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan," katanya.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, permohonan yang diterima MRSM bagi sesi kemasukan 2022 adalah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat.

"Kita juga mengekalkan dasar menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pendidikan menengah di MRSM.

"Sistem Pendidikan MRSM bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan," katanya.

Sebelum ini, waris serta beberapa pemimpin pembangkang menyuarakan bantahan terhadap syarat baru kemasukan MRSM yang hanya menerima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) sahaja.

Ini susulan pengumuman di laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 antaranya menyatakan kemasukan bagi tingkatan satu dan empat hanya dihadkan kepada permohonan calon dari SK dan SMK.

Untuk rekod,terdapat 55 MRSM di seluruh negara yang mampu menampung seramai 37,198 pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:31 PM