GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rizanizam Abdul Hamid


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) optimis sistem pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar akan dimuktamadkan akhir Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini kementerian sedang mengumpul semua maklumat diperlukan membabitkan agensi kerajaan selain daripada persatuan pengusaha stesen minyak di seluruh negara.

“Saya fikir kalau suku kedua (2019) itu 1 April, saya optimis hujung Februari itu kita sudah boleh muktamadkan kaedahnya.

“Ia supaya kita ada satu bulan lagi iaitu Mac kita perlu buat dry run (latihan). Maknanya kalau kita nak uji dulu sistem itu di beberapa stesen minyak di beberapa negeri.

“Kita buat ujian dulu tengok kalau ada sebarang masalah kita sempat buat pembetulan sebelum kita umumkan ‘roll-out’ (penggunaan sistem),” katanya pada program Soal Rakyat, malam tadi.

Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, baru-baru ini memperuntukkan subsidi petrol kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Guan Eng dipetik berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter untuk motosikal.

Mekanisme baharu itu dijangka bermula pada suku kedua 2019.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, adalah menjadi hasrat kementerian sebagai peneraju untuk melaksanakan program subsidi petrol secara bersasar ini dapat bermula dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Mekanisme atau sistem yang akan kita perkenalkan itu sama ada menggunakan kad atau atau cash (tunai) mesti ada ciri-cirinya.

“Maknanya kalau stesen minyak Petronas boleh guna sistem itu Shell, BHP pun boleh guna.

“Ia mestilah satu sistem yang bila kita muktamadkan ia boleh diguna pakai bukan sahaja oleh stesen minyak ini, bahkan stesen-stesen minyak kecil di kampung pedalaman yang jumlahnya cukup banyak dan penggunanya lebih tepat dengan kumpulan sasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 12:08 AM