PADA pembentangan bajet 2019, kerajaan mengumumkan pemberian subsidi petrol bersasar kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) pada suku kedua tahun ini.

Inisiatif itu disambut baik rakyat terutama golongan B40. Dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi, program ini akan dimuktamadkan.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada mekanisme berkenaan berkesan dalam mengurangkan beban rakyat.

Bersama wartawan, NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN, juruvideo, HALIM SALLEH dan jurufoto, ZUNNUR AL SHAFIQ menemu bual Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Petron Malaysia (PeDAM) DATUK ALANG ZARI ISHAK bagi mengupas isu ini.

PRESIDEN Persatuan Pegusaha Stesyen Miyak Petron, Datuk Alang Zari Ishak. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ.
PRESIDEN Persatuan Pegusaha Stesyen Miyak Petron, Datuk Alang Zari Ishak. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ.

Adakah pihak industri sudah bersedia dengan pelaksanaan program subsidi petrol bersasar bagi golongan B40?

Pihak industri sebenarnya sudah lama bersedia dengan mekanisme pelaksanaan program subsidi petrol bersasar buat golongan B40. Kami turut menerima peringatan daripada kerajaan mengenai pelaksanaan program ini.

Perbincangan antara kerajaan dan pemegang taruh juga sudah dilakukan. Segala kemudahan sudah disediakan dan kami bersedia melaksanakan program ini pada bila-bila masa.

Apa masalah atau isu yang dijangka berlaku apabila program ini dilaksanakan?

Kemungkinan masalah yang timbul bergantung kepada sistem digunakan kerajaan dalam program ini.

Sekiranya kerajaan memilih menggunakan kad elektronik atau pangkalan data, ia boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya gangguan sistem. Ini kerana sistem berkenaan digunakan ratusan ribu pengguna di 3,500 stesen minyak di seluruh negara secara serentak. Ini satu daripada kemungkinan masalah yang menjadi kerisauan kami.

Bagaimana dengan ketirisan?

Masalah ketirisan boleh berlaku di mana-mana, tetapi kerajaan dan pihak industri sudah berbincang mengenai kemungkinan masalah ini.

Malah, kami sudah bersedia untuk mengatasi atau mengurangkan masalah ketirisan. Selain itu, kami juga berharap masalah ketirisan boleh diminimumkan melalui penerangan diberikan kepada penerima subsidi.

Mekanisme digunakan boleh dikatakan sebagai trial and error. Apa pendapat Datuk?

Trial and error ini hanya untuk jangka masa pendek kerana seperti juga sistem yang lain, ia perlu diuji dan diperkemaskan berpandukan maklum balas yang diterima dan sebagainya. Pada masa sama, kerajaan dan pihak industri turut mengambil pengalaman negara lain sebagai panduan untuk melaksanakan mekanisme ini.

Kami menjangkakan trial and error ini tidak memberi kesan kerana setiap maklum balas akan dianalisis untuk penambahbaikan.

Pada pendapat Datuk, apa kaedah sesuai bagi melancarkan pengagihan subsidi ini?

Kaedah yang sesuai bergantung kepada dua perkara. Pertama, kemampuan kerajaan menampung beban kewangan (pemberian subsidi). Kedua, kesedaran pengguna itu sendiri iaitu tidak membazir dalam penggunaan petrol. Kerajaan akan memberi pendidikan, penerangan dan taklimat kepada rakyat supaya sistem ini dapat memberi faedah kepada golongan disasarkan.

Penggunaan kad subsidi petrol untuk program ini dikatakan belum tentu mampu menghalang ketirisan?

Seperti kad yang lain iaitu kad kredit dan kad debit, pihak yang berniat jahat sudah pasti mencari jalan untuk menceroboh sistem ini. Saya berkeyakinan, sistem dipilih kerajaan memiliki ciri keselamatan yang baik dan boleh mengurangkan risiko berlakunya ketirisan, ditambah pula dengan penerangan diberikan pengusaha serta syarikat minyak kepada pengguna.

Saya percaya ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak akan saling bekerjasama untuk mengurangkan masalah ketirisan ke tahap minimum.

Soal keselamatan membabitkan senarai penerima subsidi ini menjadi antara perhatian utama B40. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Saya berpendapat kerajaan mempunyai senarai yang mereka kemas kini daripada Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) yang mana kerajaan memberikan bantuan kepada golongan B40 dalam bentuk wang tunai dan bantuan lain.

Saya yakin kerajaan turut menggunakan atau merujuk senarai yang sama (eKasih) untuk memilih penerima yang benar-benar layak.

Ada juga yang mahukan wang subsidi dikreditkan ke dalam akaun?

Pihak kami tidak mempunyai sebarang masalah jika wang subsidi ini dikreditkan ke dalam akaun penerima yang layak dan yakin ia antara kaedah terbaik.

Apabila kerajaan mengkreditkan wang subsidi ke akaun golongan sasar, mereka boleh membeli petrol di stesen minyak menggunakan kad debit, kredit atau secara tunai. Ia akan memudahkan pengusaha stesen minyak kerana sistem ini yang digunakan pada masa ini.

Secara keseluruhan, apa pendapat Datuk dengan program subsidi bersasar ini?

Ini program yang baik buat kerajaan dan rakyat. Sekiranya tiada sistem seperti ini, mungkin ketirisan membabitkan pihak yang tidak berhak menjadi lebih berleluasa.

Sebaliknya, apabila menggunakan kad yang mengandungi maklumat diri, masalah ketirisan subsidi minyak ini dapat dielakkan daripada digunakan oleh mereka yang tidak berhak. Langkah kerajaan memperkenalkan program ini disebabkan keprihatinan terhadap nasib rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi.

Harga petrol pula tidak menentu kerana ia kepada harga pasaran minyak dunia yang mungkin meningkat disebabkan faktor-faktor tertentu.

Sekiranya berlaku kenaikan harga petrol, ia sudah tentunya menambah tekanan kepada golongan B40. Menerusi program ini, golongan berpendapatan rendah boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 9:23 AM