LELAKI berusia 25 tahun ditahan polis selepas cuba meragut wanita di Jalan Awi, Kulim. Gambar kecil, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim Asisten Superitendan Ahmad Shahir Adnan. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI berusia 25 tahun ditahan polis selepas cuba meragut wanita di Jalan Awi, Kulim. Gambar kecil, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim Asisten Superitendan Ahmad Shahir Adnan. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


“KEADAAN ketika itu gelap, manakala saya yang berada di belakang mereka hanya melihat lampu dua motosikal seperti berhimpit dan cuba menghampiri sebelum melihat wanita itu sedang bergelut dengan suspek yang turut menghayun belantan.”

Begitu kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan yang melihat kejadian kes ragut wanita di Jalan Bukit Awi, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, Ahmad Shahir yang memandu Honda Jazz, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas, terserempak dengan dua lelaki yang meragut wanita berusia 24 tahun.

Ahmad Shahir berkata, selepas melihat mereka berjaya merampas beg galas mangsa dan melarikan diri, dia kemudian terus bertindak mengejar.

“Malah saya nyaris dilanggar lori di persimpangan lampu isyarat di kawasan terbabit ketika mengejar suspek yang melarikan diri ketika lampu isyarat sedang merah.

“Mujur saya tidak apa-apa dan sebaik berjaya menghampiri motosikal itu, saya terus menghimpit sehingga mereka terbabas,” katanya.

Menurutnya, sebaik mereka terjatuh, suspek cuba mengangkat semula motosikal itu untuk melarikan diri menyebabkan dia terpaksa menendang motosikal itu.

“Ketika itulah saya dapat menahan seorang daripada mereka manakala rakannya berjaya melarikan diri ke dalam kawasan semak.

“Mujur dalam kejadian ini saya tidak mengalami apa-apa kecederaan, namun kereta saya rosak di bahagian lampu dan depan akibat mengejar mereka,” katanya.

Beliau berkata, tugas polis sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko dan menjadi kebiasaan jika mengalami kecederaan.

“Saya rasa satu kepuasan apabila dapat menangkap sendiri peragut itu kerana atas rasa tanggung jawab walaupun ketika itu bukan dalam waktu bertugas, namun saya tetap menjalankan amanah ini,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan cubaan dua lelaki meragut wanita di Jalan Bukit Awi, Kulim, mengundang padah apabila seorang daripada suspek ditahan selepas disedari pegawai polis yang melalui kawasan itu sebelum bertindak mengejar mereka, semalam.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 24 tahun menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Kampung Padang Tembak, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, sebaik tiba di kawasan Petronas Taman Bersatu, mangsa menyedari diekori motosikal Honda EX5 dinaiki dua lelaki tidak dikenali.

Berita berkaitan

Padan muka!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 1:19 PM