Azahar Hashim


PEMANDU teksi cedera di kepala ketika cuba membantu penumpangnya yang menjadi mangsa ragut di Jalan Perdagangan, dekat Taman Cendana, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, pemandu berusia 50-an baharu sahaja menurunkan penumpang di tepi jalan sebelum wanita berusia 30-an itu diragut.

Pemandu terbabit kemudian bertindak keluar dari teksinya bagi membantu wanita berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan antara dia dan peragut.

Peragut dipercayai bertindak memukul kepala pemandu teksi menggunakan objek tumpul menyebabkan dia pengsan dan terbaring di tengah jalan.

Sumber berkata, peragut dan rakannya yang menaiki kereta kemudian melarikan diri sebelum orang ramai datang membantu mangsa serta wanita berkenaan.

"Orang ramai yang melihat kejadian cuba mengejar kenderaan dinaiki suspek yang menghala ke Taman Cendana, namun gagal mengesan mereka.

"Pemandu teksi yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim bagi mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan seorang wanita sudah tampil membuat laporan berkaitan kes.

Katanya, pemandu teksi berkenaan masih belum membuat laporan dan usaha mengesan suspek sudah dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 2:52 PM