Suspek yang ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.
Suspek yang ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.
Azahar Hashim


TINDAKAN pantas dan nekad seorang lelaki mengejar suspek menggagalkan cubaan mencuri keretanya di Kulim Hi-Tech, Kulim, semalam.

Dalam kejadian jam 5.47 petang itu mangsa nekad mengejar suspek berusia 34 tahun dengan motosikal yang dipinjam daripada orang awam selepas kereta Proton Saga BLM miliknya dilarikan.

Mangsa akhirnya berjaya menahan lelaki terbabit dengan bantuan orang ramai selepas mengekori sejauh lapan kilometer selepas kereta dilarikan itu terbabit kemalangan di lampu isyarat Kulim Hi-Tech.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 39 tahun memberhentikan keretanya di sebuah kedai perabot di Taman Mutiara.

Katanya, hanya pengadu turun dari kereta sementara isteri serta anak perempuan berusia 10 tahun menunggu di dalam kereta.

“Mangsa tidak mematikan enjin kereta dan masuk ke dalam kedai terbabit. Ketika berurusan di dalam kedai secara tiba-tiba seorang lelaki meluru masuk ke dalam kereta.

“Terkejut dengan tindakan lelaki yang tidak dikenali itu isteri serta anak pengadu meluru keluar dari kereta dan suspek terus memecut ke arah Kulim," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Nasir berkata, pengadu kemudian mengejar suspek sehingga sampai di kawasan Kulim Hi-Tech apabila kereta itu melanggar kereta Proton Waja di lampu isyarat Jalan Hi-Tech 1.

"Selepas tersekat akibat kemalangan, suspek cuba melarikan diri namun mangsa bertindak pantas menahannya dengan bantuan orang ramai.

"Suspek kemudian diserahkan kepada polis peronda dan dibawa ke Balai Polis Kulim Hi-Tech.

"Setakat ini kita tidak mengetahui motif sebenar suspek melarikan kereta mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Nasir berkata, bapa suspek hadir ke balai dan memaklumkan anaknya mengalami halusinasi dan polis melakukan siasatan lanjut dari semua aspek termasuk kemungkinan dia terbabit penyalahgunaan dadah

“Suspek direman empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 10:05 PM