Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN dua lelaki meragut wanita di Jalan Bukit Awi, Kulim, mengundang padah apabila seorang daripada suspek ditahan selepas disedari pegawai polis yang melalui kawasan itu sebelum bertindak mengejar mereka, semalam.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 24 tahun menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Kampung Padang Tembak, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, sebaik tiba di kawasan Petronas Taman Bersatu, mangsa menyedari diekori motosikal Honda EX5 dinaiki dua lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, tidak lama kemudian sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba beg galas mangsa direntap menyebabkan dia menjerit meminta pertolongan.

“Suspek turut menghayun belatan ke arahnya sebelum tali beg galas itu terputus dan suspek terus melarikan diri.

“Dalam masa yang sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan yang terlihat kejadian itu terus bertindak mengejar suspek dengan kereta,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, pegawai polis terbabit kemudian menghimpit motosikal suspek sebelum mereka terbabas dan cuba melarikan diri, namun gagal apabila seorang daripadanya ditahan sementara seorang lagi melarikan diri.

“Beg galas milik mangsa turut dirampas, sementara suspek berusia 25 tahun itu dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Semakan juga mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan usaha memburu seorang lagi suspek giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, reman akan dipohon hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:34 AM