SUSPEK ditahan selepas hampir setahun menghilangkan diri. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK ditahan selepas hampir setahun menghilangkan diri. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Helah seorang lelaki sanggup menjadi pemandu peribadi kepada seorang jurutera kilang rupanya mempunyai muslihat apabila dia tergamak mencuri barangan di rumah majikannya itu sendiri.

Suspek berusia 28 tahun sempat bekerja dengan majikannya itu selama sebulan sebelum bertindak melarikan diri hampir setahun lalu, sebelum berjaya ditahan malam tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 11 Mac tahun lalu selepas majikannya yang berusia 37 tahun itu menyedari terdapat kesan umpil di pintu belakang rumahnya di Jalan Sri Pinang, Taman Sri Pinang, dekat sini jam 6.35 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pengadu kemudian mendapati telefon bimbit jenama iPhone 6 Plus, cincin emas, lapan jam tangan dan wang tunai RM7,000 yang disimpan dalam rumah hilang.

Beliau berkata, pengadu yang mengesyaki rumahnya dipecah masuk kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Suspek kemudian melarikan diri selepas kejadian itu dan tidak bekerja dengan majikannya lagi. Bagaimanapun, suspek akhirnya berjaya ditahan 10.30 malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan.

"Suspek ditahan di tepi Jalan Bukit Awi, dekat sini bersangkut kes pecah rumah di kawasan Kulim dan dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, suspek juga disyaki terbabit dalam kejadian curi sarang burung di sekitar daerah ini.

"Semakan rekod juga mendapati, suspek yang menetap di sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang ini mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk dadah.

"Siasatan lanjut akan dilakukan selepas reman empat hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah beliau, suspek sebelum ini terbabit dengan dua kes curi sebelum bekerja dengan majikannya itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan mana-mana syarikat yg hendak mengambil pemandu peribadi atau pemandu syarikat perlu menyemak dulu rekod peribadi mereka dengan pihak polis supaya tidak berlaku kes seperti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 12:02 PM