Izad Thaqif Hassan


Kulim: Berpura-pura sebagai pelanggan dan langsung tidak menggunakan sebarang senjata namun seorang penjenayah dapat melarikan seutas rantai emas berharga RM20,000 di sebuah premis di Jalan Tunku Abidah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, suspek yang berpura-pura sebagai pelanggan masuk ke kedai emas dan bertanyakan jenis rantai yang ingin dibeli untuk ibunya.

Ketika itu, bapa kepada pemilik kedai emas melayan lelaki terbabit dan dia memberitahu yang mereka tidak mempunyai rantai yang diinginkan suspek.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, bapa pemilik kedai emas kemudian menunjukkan rantai jenis lain kepada suspek seberat 79 gram yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Menurutnya, ketika rantai dibawa keluar dan diberikan kepada suspek yang kononnya mendakwa mahu melihat terlebih dulu, dia secara tiba-tiba terus melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletak berhampiran kedai emas berkenaan.

"Pemilik kedai cuba mengejar suspek namun gagal selepas lelaki terbabit memecut laju motosikal ditunggangnya.

SUSPEK berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan rantai emas. FOTO ihsan polis
SUSPEK berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan rantai emas. FOTO ihsan polis

"Suspek yang menunggang motosikal SYM merah itu dilihat melarikan diri ke arah jalan Pekan Kulim melalui hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam sebelum menghilangkan diri," katanya.

Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berkaca mata hitam, baju T merah, berseluar kelabu, bertopi hitam dan memakai pelitup muka serta jam tangan perak.

"Pemeriksaan mendapati motosikal ditunggang suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia sebenarnya didaftar atas nama seorang individu yang tinggal di Selangor.

"Kedai emas terbabit juga didapati tiada pengawal keselamatan namun ia dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian pemilik kedai, adik ipar dan bapanya sedang melayan empat pelanggan termasuk suspek dalam premis berkenaan.

"Ketika ini kita sedang giat berusaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 10:59 AM