PAIP pelepasan gas metana di Stesen Injap Petronas M417 Lunas yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
PAIP pelepasan gas metana di Stesen Injap Petronas M417 Lunas yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


STESEN Injap Petronas M417 Lunas di Kulim terbakar dalam kejadian 8.30 malam tadi, selepas paip pelepasan gas metana di stesen injap itu dikesan terbakar.

Bagaimanapun, kawasan itu tidak mempunyai penempatan penduduk dan berlaku dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan 8.35 malam dan tiba di lokasi pada 8.47 malam.

Beliau berkata, operasi disertai seramai enam anggota termasuk penyelia bersama jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kulim serta bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas.

“Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dan operasi pemadaman dilakukan untuk mengawal api daripada terus merebak.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 9.15 malam dan dipadam sepenuhnya pada 10 malam tadi,” katanya.

Hamizul Azwan berkata, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa, kecederaan atau kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:50 AM