Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Empat individu cedera dalam kemalangan membabitkan 13 kenderaan termasuk sebuah lori treler di Kilometer 21 Lebuhraya BKE menghala ke Baling, di sini hari ini.

Difahamkan, treler terbabit dipercayai merempuh kenderaan-kenderaan itu sehingga mengakibatkan kesesakan di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.37 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim yang diketuai Zaidi Yaacob tiba di lokasi bersama sembilan anggota.

"Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan 13 kenderaan dan empat mangsa termasuk seorang wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum bomba tiba.

"Semua mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamizul Azwan berkata, anggotanya kemudiannya membersihkan keadaan jalan bagi memudahkan pergerakan kenderaan di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:26 AM