SUBRAMANIAM melihat kedai runcitnya. FOTO Azahar Hashim
SUBRAMANIAM melihat kedai runcitnya. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim

PENIAGA kedai runcit kerugian RM500,000 apabila kedainya musnah 80 peratus dalam kebakaran rumah kedai di Taman Kangkung, Paya Besar, di Kulim, hari ini.

Pemilik kedai runcit, R Subramaniam, 50, berkata, dia menutup kedainya itu pada jam 9 malam tadi dalam keadaan baik, namun pada jam 5.15 pagi dia menerima panggilan dari rakannya memaklumkan kebakaran itu.

“Kami sekeluarga tinggal di Taman Lobak yang tidak jauh dari kedai saya dan selepas menerima panggilan itu terus bergegas ke tempat kejadian.

“Namun apabila sampai saya tidak dapat menyelamatkan semua barangan kerana api sedang marak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Subramaniam berkata, dia menjalankan perniagaan di kawasan terbabit sejak tujuh tahun lalu dan dua rumah kedai diubahsuai menjadi sebuah kerana lebih luas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.37 pagi.

Katanya, susulan itu, dua jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim serta sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Ia turut dibantu sebuah jentera dari BBP Kulim Hi Tech dan Pasukan Bomba Sukarela dari Lunas serta Kulim.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis setingkat kelas A yang menyebabkan kemusnahan 80 peratus. Punca dan kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 11:41 AM