KEADAAN banjir di Dungun. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN banjir di Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SERAMAI 42 orang daripada 12 keluarga mangsa banjir di Kampung Seberang Pintasan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir mulai surut pagi hari ini.

Berikutan itu, pusat perpindahan banjir di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan ditutup, kira-kira 9 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, Osman Bakar berkata, air yang bertakung di kawasan kediaman rumah mangsa banjir telah surut sepenuhnya.

Osman berkata, faktor sistem pengairan yang kurang sempurna menyebabkan air gagal mengalir sekaligus membanjiri rumah penduduk yang tinggal di kawasan rendah.

“Air hujan gagal mengalir dengan sempurna dan kita telah maklumkan kepada pihak JPS supaya parit segera digali.

“Saya bersama agensi yang lain akan sentiasa memantau perkembangan di kawasan yang berisiko ditenggelami air, “katanya.

Sementara itu mangsa banjir, Zainun Abu Bakar berkata, dia bersyukur banjir telah surut dan dibenarkan pulang ke rumahnya.

“Alhamdulillah air telah surut. Saya sangat risau jika lama berada di pusat perpindahan ini sebab memikirkan cucu-cucu yang tak dapat bersekolah,“ katanya.

“Setiap tahun mak cik dan tiga cucu akan berpindah kerana rumah sering ditenggelami banjir dan kalau boleh tak mahu lagi berpindah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 1:15 PM