Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Pemandu lori maut apabila dihempap lori seberat tiga tan dalam kejadian di kuari Bukit Mak Lipah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Mohd Dali Mohd Yunus, 53, maut di tempat kejadian selepas lori yang dipandu terbalik ketika menuruni cerun di kawasan kuari itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, ketika kejadian, mangsa sedang bekerja dan baru selesai mengisi muatan tanah ke dalam lorinya.

"Dalam perjalanan turun, lori itu melalui satu selekoh ke kiri dan pemandu gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke lereng bukit sebelah kanan.

"Mangsa tersepit akibat dihempap lori dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ediansha berkata, mangsa mengalami kecederaan di belakang kepala, tangan kanan dan kaki kanan.

KEADAAN lori tiga tan yang terbalik menyebabkan pemandu maut. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN lori tiga tan yang terbalik menyebabkan pemandu maut. FOTO ihsan pembaca

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagaimanapun bedah siasat masih dijalankan ke atas mangsa bagi mengenalpasti punca kematian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.37 tengah hari.

Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, BBP Pasir Puteh dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pasir Puteh ke lokasi.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan alat pemotong khas," katanya.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:48 PM