DR MAHATHIR. FOTO NSTP
DR MAHATHIR. FOTO NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman


TUN Dr Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Najib Razak membuat laporan jika ada individu lain di luar negara yang terbabit dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata, berdasarkan laporan itu, ia akan membolehkan kerajaan untuk menahan dan menyiasat individu yang dimaksudkan Najib.

"Beliau boleh membuat laporan, oleh itu kita boleh menahan mereka untuk disiasat," katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya, malam tadi. .

Najib dalam wawancara bersama Al Jazeera menggesa supaya pasukan penyiasat memanggil dan menyiasat individu antarabangsa yang didakwanya turut terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB dan bukan menyiasat Low Taek Jho atau Jho Low saja.

Katanya, individu antarabangsa terbabit juga perlu disoal siasat bagi mengetahui ke mana wang berkenaan lenyap.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan kerajaan akan tetap menahan warga asing yang terbabit dalam penyelewengan dan 1MDB tanpa mengira kedudukan dan pangkat, termasuk keturunan diraja dari negara Arab.

Perdana Menteri berkata, walaupun sukar bagi kerajaan hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap warga di negara luar, namun mereka akan ditahan jika masuk ke Malaysia.

“Jika mereka melakukan jenayah membabitkan kepentingan Malaysia, menjejaskan Malaysia dan wang Malaysia, kalau mereka datang sini, kita tahan mereka.

“Saya fikir ia tidak akan menyentuh soal diplomatik kerana jenayah tetap jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 1:01 AM