NAJIB. FOTO Arkib NSTP
NAJIB. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


DATUK Seri Najib Razak mengakui tidak memeriksa dari mana sumber atau pemilik wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu hanya mengagak sumbangan itu daripada Arab Saudi selepas Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud pernah memberi jaminan akan menyokongnya.

“Persoalannya ialah apabila saya menerima dana itu, saya sedar sumber wang itu... atau adakah sumber wang itu, ada perselisihan siapa yang memiliki dana itu, pastinya dalam kapasiti saya, saya tidak mempunyai akses untuk mengetahuinya daripada bank.

“Oleh kerana sesiapa yang memiliki dana itu dilindungi oleh undang-undang kerahsiaan perbankan, maka apabila saya menerima dana, secara jujur saya kira itu adalah sumbangan yang ikhlas dan pada saat itu, berdasarkan apa yang saya tahu berpandukan perbualan dengan Raja Abdullah,” katanya dalam satu wawancara bersama program 101 East menerusi Aljazeera, hari ini.

Pada September lalu, Najib mendedahkan beberapa dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada Raja Abdullah Abdulaziz bagi mengesahkan bahawa dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

Menerusi akaun Facebooknya, Najib mendedahkan tiga dokumen daripada Almarhum Raja Abdullah, salah satunya tertera perkataan ‘Recognition of Contribution to the Islamic World’ (pengiktirafan sumbangan kepada dunia Islam) bertarikh 1 Februari 2011.

Dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan yang diterima bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama.

Sementara itu, apabila ditunjukkan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang menunjukkan jelas aliran wang itu dan beliau mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri waktu itu, Najib berkata beliau tidak dapat menjelaskannya kerana tidak mengetahuinya pada masa itu.

“Ya, tapi Perdana Menteri tidak mempunyai akses kepada maklumat perbankan,” katanya.

Najib turut menggesa supaya pasukan penyiasat supaya memanggil dan menyiasat figura antarabangsa yang didakwanya turut terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB dan bukan setakat menyiasat Low Taek Jho atau Jho Low saja.

Katanya, figura antarabangsa terbabit juga perlu disoal siasat bagi mengetahui ke mana wang berkenaan lenyap.

“Baiklah.. mereka melakukan kerja mereka tetapi jangan siasat Jho Low saja. Dapatkan orang lain juga kerana ada tokoh antarabangsa lain yang mungkin terbabit. Mereka juga mesti disiasat.

“Kita hendak tahu di mana wang itu mengalir. Dan yang benar-benar mendapat manfaat daripada keseluruhan 1MDB. Saya juga ingin tahu,” katanya.

Berita berkaitan

RM2.6 bilion: Ini jawapan Arab Saudi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 9:11 PM