JHO LOW.
JHO LOW.
Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Iskandar Ibrahim


TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia akan terus memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun sukar.

Perdana Menteri berkata, usaha akan tetap diteruskan walaupun terdapat kira-kira tujuh bilion orang di dunia ini.

“Kita akan buru dia. Dunia ini hanya ada tujuh bilion orang, bukan susah sangat.

“Jika kita boleh cari jarum dalam jerami, begitu juga Jho Low. Dia ibarat jarum dan kita akan menyelongkar jerami itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mengulas mengenai dakwaan Jho Low kononnya laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan China dalam usaha menyelamat 1MDB pada 2016 sebagai pertukaran mendapatkan kontrak lumayan bermotif politik, Dr Mahathir berkata, ia sekadar dakwaan.

“Dia banyak kali cakap (tindakan politik), dia juga mencuri wang bermotifkan politik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Jho Low menafikan laporan WSJ yang mengaitkan China dalam usaha menyelamatkan 1MDB pada 2016 sebagai pertukaran mendapatkan kontrak lumayan.

Dia menyifatkan artikel itu sebagai ‘separuh benar’ dan kesinambungan percubaan perbicaraan media oleh pentadbiran Dr Mahathir.

“Artikel terbaru WSJ itu hanya separuh benar, bercampur dengan fiksyen untuk mencipta berita yang mengelirukan dan berlebihan, dilancarkan oleh rejim Dr Mahathir untuk tujuan politiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 4:36 PM