GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


WANITA ditemui maut dengan mulut berbuih dalam bas ekspres di Jalan Ria, Georgetown, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa Goh Ai Lee, 44, disedari sudah meninggal dunia oleh pekerja syarikat bas ekspres berkenaan ketika membuat pemeriksaan.

Difahamkan, bas terbabit dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Johor Bahru sedang menunggu penumpang lain di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan mendapati mangsa berasal dari Bukit Kukus, Paya Terubong, di Georgetown dan ketika kejadian dia menaiki bas ekspres terbabit untuk ke Johor Bahru.

Menurutnya, polis menerima panggilan 9.53 malam mengatakan ada seorang penumpang wanita meninggal dunia dalam bas terbabit.

“Hasil pemeriksaan dalam beg pakaian yang dibawanya, kita menemui dokumen perubatan dan ubat dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang, untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan mangsa maut kerana diserang sakit jantung,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 3:49 PM