ANTARA ahli keluarga mangsa di Hospital Serdang. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ANTARA ahli keluarga mangsa di Hospital Serdang. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ruwaida Md Zain dan Faliq Lajim

SUASANA sayu menyelubungi pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang selepas empat rakan sekerja mereka terkorban ketika operasi menyelamatkan mangsa lemas di Puchong, malam tadi.

Pemergian empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang maut ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, benar-benar memberikan kesan kepada mereka.

Mereka yang terkorban adalah Mohd Fatah Hashim, (34); Izzatul Akma Wan Ibrahim, (32) ; Mazlan Omarbaki, (25) dan Yahya Ali, (24).

Bagaimanapun, mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih atas kehilangan empat anggota balai terbabit.

NSTP difahamkan keempat-empat yang meninggal dunia sempat bermain bola tampar dengan anggota lain di balai berkenaan sebelum menerima arahan ke lokasi kejadian.

Selain itu, empat anggota yang maut itu dikatakan antara yang ceria dan peramah dalam kalangan pegawai dan anggota di balai berkenaan yang sudah seperti keluarga.

Selain empat anggota PPDA BBP Pelabuhan Klang, dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam, iaitu Adnan Othman, (33) dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, (25).

Terdahulu, NSTP melaporkan enam anggota PPDA JBPM Selangor lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, ketika dalam operasi SAR bagi mencari seorang remaja berusia 17 tahun yang terjatuh dalam lombong berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dilaporkan berkata, mangsa lemas selepas terbelit tali, akibat arus deras, yang datang tiba-tiba.

Keenam-enam anggota berkenaan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang berada di lokasi ketika operasi menyelamat diadakan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pusaran air disyaki punca bomba lemas [METROTV]

Lemas lepas terbelit tali

6 bomba lemas dikenal pasti

Enam bomba lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 2:09 AM