Nur Izzati Mohamad


POLIS meminta kerjasama orang awam membantu menyalurkan maklumat mengenai empat kanak-kanak dari Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas yang melarikan diri dalam kejadian Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun itu didapati hilang dari rumah perlindungan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehilangan kanak-kanak itu disedari seorang petugas ketika melakukan pemeriksaan di asrama lelaki rumah terbabit.

“Kehilangan itu kemudian dilaporkan pembantu kebajikan masyarakat rumah kanak-kanak itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Melalui pemeriksaan yang dijalankan, kita percaya empat kanak-kanak itu melarikan diri melalui tingkap bilik asrama berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, empat kanak-kanak itu ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan antara tahun 2012 dan 2017 atas faktor pengabaian oleh keluarga.

“Kita memohon kerjasama orang ramai supaya membantu polis mengesan kanak-kanak ini sekiranya mempunyai maklumat,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di talian 04-5762222 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 63 Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 5:27 PM