JAMALIAH (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan. FOTO Khairunisah Lokman
JAMALIAH (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan. FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Fhatihah Zakinan


SEORANG wanita bekas peserta program realiti hiburan televisyen antara tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan.

Mereka didakwa melarikan sebuah kereta dan rantai emas membabitkan kerugian RM24,680 terhadap seorang lelaki warga emas dalam kejadian rompakan di Taman Teluk Mas, Disember lalu.

Jamaliah Saadun, 48, bersama dua rakannya Mohd Idris Yasmir, 34, dan Muhammad Dhirar Raihan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama dengan niat melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta iaitu rantai emas, wang tunai dan sebuah kereta milik M Kesavan, 60.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Seri Emas 50, Taman Teluk Mas, 3 pagi, 15 Disember lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan berikutan tiada penawaran jaminan bagi ketiga-tiga tertuduh.

Jamaliah dan Mohd Idris masing-masing tidak bekerja dan pembantu katering itu tidak diwakili peguam bela, manakala peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh mewakili anak guamnya, Muhammad Dhirar.

Elesabet kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pada prosiding berasingan, Jamaliah bersama seorang lagi rakan wanita, Madura Mahat, 40, mengaku tidak bersalah merompak telefon bimbit dan mencederakan Muhammad Miskeen Kind Marhoom, 70, dengan menyeret mangsa menggunakan kereta, di tepi jalan Seri Mangga 8, Taman Seri Mangga, 11.25 pagi, 18 Disember lalu.

Kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Bagaimanapun, Madura merayu jaminan atas alasan suami orang kelainan upaya (OKU) dan menanggung anak kecil.

Hakim Norma Ismail membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 1:56 PM