LIMA tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
LIMA tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Lima lelaki bersahabat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan cubaan bunuh terhadap lelaki, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh K Ganesh Kumar, 18, K Nanrik Kumar Devit, 22, Lennox, 23, M Clemend Raj, 27, dan A Saravanan, 33, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan bersama-sama oleh jurubahasa dalam Bahasa Tamil, di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa cuba membunuh Choo Tian En, 42, dengan melanggar kereta mangsa hingga menyebabkan patah kaki kiri dan boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan lima tertuduh terbabit pada 12.10 tengah malam pada 1 April 2017, di hadapan kopitiam di Taman Muzaffar Shah, di sini.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 20 tahun.

Terdahulu, prosiding yang dikendali Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan kepada mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan kepada kelima-lima tertuduh kerana kesalahan dilakukan amat serius.

Namun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya mahu menawarkan jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh Clemend Raj yang diwakili Peguam Bela James Thanjong Tuan merayu anak guamnya dibenar jamin.

Manakala empat lagi tertuduh merayu sendiri untuk dibenar jamin.

Norma kemudian menawarkan setiap tertuduh jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam bagi empat lagi tertuduh.

Norma turut menetapkan syarat, setiap tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman masing-masing dan diarah tidak mendekati mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 4:24 PM