KESAN kebakaran berkenaan. FOTO Ahmad Ismail
KESAN kebakaran berkenaan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

BARA sekam papan dipercayai menjadi punca sebuah kilang papan di Gemas Baru, dekat Segamat, terbakar dua kali dalam tempoh kurang 12 jam bermula Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah, Herman Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama daripada pengurusan kilang pada jam 11.20 malam Jumaat lalu.

“Empat jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra dan Gemas berserta 15 anggota berjaya mengawal kebakaran kira-kira tiga jam kemudiannya daripada merebak ke beberapa bangunan kilang berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini, semalam.

Bagaimanapun, pihaknya menerima panggilan kecemasan kedua daripada pengurusan kilang sama, pada jam 10.26 pagi semalam.

Herman berkata, sebuah jentera dan enam anggota dikejarkan ke lokasi sebelum berjaya mengawal kebakaran sejam kemudian.

“Kebakaran dipercayai berpunca daripada sekam papan yang dibakar seorang pekerja.

“Pada masa sama, angin kencang ketika itu menyebabkan api merebak pantas. Sehubungan itu, bomba memberi amaran kepada mereka kerana kecuaian itu,” katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 2:31 PM