Nor Azizah Mokhtar


PUSAT jualan perabot mengandungi 13 premis perniagaan di Jalan Bukit Puchong di Puchong, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Operasi Bomba Zon Petaling, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Zaikunor Afendi Muhammad Nordin berkata, lapan jentera bomba bersama 30 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan pada 10.26 malam.

“Usaha mengawal api dan memadam kebakaran berhadapan kesukaran kerana masalah tekanan air rendah.

“Ini memaksa kita meminta bantuan jentera tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi dan Serdang,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, pagi tadi.

Katanya, api kebakaran akhirnya dapat dikawal pada 11.50 malam dan setakat 2 pagi tadi, kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran masih giat dijalankan.

“Kebakaran dikesan bermula di tengah bangunan sebelum merebak ke bahagian kiri dan kanan bangunan dua tingkat terbabit.

“Buat masa ini punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian belum dapat dipastikan, pasukan forensik bomba sedang menjalankan siasatan,” jelas beliau.

Tambahnya, kebakaran tidak membabitkan sebarang mangsa kerana bangunan itu sudah menutup operasi perniagaannya ketika kejadian.

Usaha memadam kebakaran dijalankan oleh anggota bomba dari BBP Puchong, Serdang dan Cyberjaya dibantu 18 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari Sri Serdang, Kepong dan Gombak Batu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 8:41 AM