Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menjangkakan proses 'overhaul' atau memastikan tiada kebakaran lain berlaku di kawasan kilang penyimpanan minyak sawit di Sungai Jawi di sini, akan selesai pada tengah malam ini atau pagi esok.

Ketua Balai Bomba Nibong Tebal Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata, setakat ini api sudah dipadamkan namun kerja-kerja bagi mengawal kebakaran daripada merebak (overhaul) masih dijalankan .

Ini kerana, katanya, keluasan kawasan kebakaran amat besar, tambahan pula angin kuat di lokasi kejadian yang dibimbangi berlaku kebakaran lain jika tidak dikawal dengan rapi.

"Keadaan terkawal pada masa ini dan api sudah pun dipadamkan namun sebanyak tujuh ke lapan jentera bomba di lokasi kejadian bagi membuat kerja-kerja overhaul.

"Memandangkan kawasan kebakaran membabitkan kilang penyimpanan minyak sawit maka terdapat sekam (hampas kelapa) dan bomba perlu memastikan tiada bara api pada sekam berkenaan yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku semula, apatah lagi di lokasi kejadian angin kuat sejak tengah malam tadi hingga ke sekarang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, pihaknya juga memerlukan tempoh masa yang lama untuk proses 'overhaul' adalah disebabkan faktor tekanan air yang rendah di kawasan itu.

"Dengan angin kuat dan faktor tekanan air menyebabkan kita perlu mengambil masa agak panjang untuk operasi ini yang dijangka dapat ditamatkan tengah malam ini atau keesokan hari," katanya.

Terdahulu, puluhan jentera bomba dilaporkan berada di kilang terbabit bagi operasi memadamkan kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan premis berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

ANGGOTA JBPM Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja bagi mengawal kebakaran daripada merebak di kilang penyimpanan minyak sawit di Sungai Jawi di sini. FOTO Danial Saad
ANGGOTA JBPM Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja bagi mengawal kebakaran daripada merebak di kilang penyimpanan minyak sawit di Sungai Jawi di sini. FOTO Danial Saad

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dengan mendapat bantuan BBP Sungai Bakap, Perai dan Bayan Baru serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran yang membabitkan keluasan tempat penyimpanan bahan mentah minyak kelapa sawit yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 4,150 meter persegi.

Sebelum itu, penduduk berdekatan kilang berkenaan gempar selepas melihat api marak hingga menjulang ke udara hingga kepulan asap boleh dilihat dari Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang bersebelahan dengan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:21 PM