Nor Afzan Mohamad Yusof dan Seri Nor Nadiah Koris


KERAJAAN akan menyediakan bantuan bernilai RM2.7 juta dalam bentuk pembelian kandungan dan pemberian dana sebagai usaha membantu karya animasi tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kementeriannya sudah berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkaitan hal berkenaan.

Katanya, pembelian kandungan itu terbuka kepada syarikat animasi bagi membolehkan penggiat karya menghasilkan produk berkualiti.

“Kita perlu bersikap proaktif... tidak perlu tunggu saluran baru diwujudkan, baru nak beli content (kandungan). Jadi lebih mudah kita beli dahulu contentnya dan terpulang kepada syarikat televisyen bila hendak menyiarkannya," katanya.

Salleh berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Makan Malam dan Penghargaan Kartunis 2018 anjuran bersama Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Kelab Kartunis Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia turut diadakan bagi meraikan sambutan ulangtahun ke-40 majalah Gila-Gila.

Turut hadir, Penaung Rumah Kartun dan Komik Malaysia serta Kelab Kartunis Malaysia dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMASI) Datuk Akmar Hisyam Mokhles serta Presiden Kelab Kartunis Malaysia dan Pengasas Rumah Kartun dan Komik Malaysia Mohd Desa Omar atau Juragan.

Salleh berkata, dalam usaha untuk memartabatkan industri kartun dan animasi, bantuan tambahan sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Rumah Kartun dan Komik Malaysia

Peruntukan sebanyak RM200,000 turut disalurkan kepada majalah Gila-Gila untuk mendigitalkan koleksi berkenaan yang sudah berusia 40 tahun.

Terdahulu, Salleh dalam ucapannya berharap kartunis berlaku adil dalam memberi tafsiran dan membina tanggapan terhadap semua usaha kerajaan dalam karya kartun mereka.

Beliau turut menegaskan kartun sebagai budaya popular sebenarnya sangat besar pengaruhnya kepada masyarakat kerana digemari sekali gus mnjadi ikutan, khususnya kepada golongan remaja dan muda.

“Kartun serta karya perlu ditangani secara berhati-hati dan mengambil kira banyak perkara dengan tidak menghasilkannya secara sembrono atau mengikut sesedap rasa mereka.

“Ini berikutan ia berupaya memberi tafsiran dan mengolah tanggapan masyarakat terhadap sesuatu isu, baik bersifat regional, nasional mahupun global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:47 PM
SALLEH (kanan) mendengar penerangan daripada Mohd Desa (kiri) ketika melawat ruang pameran sempena majlis Hari Kartunis Malaysia di Muzium Negara, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
SALLEH (kanan) mendengar penerangan daripada Mohd Desa (kiri) ketika melawat ruang pameran sempena majlis Hari Kartunis Malaysia di Muzium Negara, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria