GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Zulkifli Zainuddin


TERSERAH kepada budi bicara kerajaan negeri masing-masing untuk bersetuju meminda had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hanya kerajaan negeri yang berkuasa untuk membuat pindaan itu, sementara orang lain perlu berhati-hati dan tidak mencampuri urusan agama di bawah kuasa negeri.

Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan sekiranya seseorang itu sudah akil baligh, walaupun berusia 15 tahun.

“Pada pandangan agama, seseorang yang sudah akil baligh tidak lagi ditakrifkan sebagai kanak-kanak dan dia dibolehkan untuk berkahwin.

“Namun, jika andai kata, masyarakat berpendapat perlu dinaikkan umur kepada 18 tahun, yang mana usia itu sudah mencapai kecerdikan, ia tetap boleh diterima pakai dalam Islam.

“Jadi, jika kita merasakan perlunya pindaan (menaikkan had umur minimum perkahwinan), syorkan kepada kerajaan negeri. Kita tiada masalah kerana kedua-dua (umur akil baligh dan had umur 18 tahun) dibenarkan oleh Islam,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang memberitahu kerajaan mengkaji untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri, berkata isu perkahwinan bawah umur tidak boleh tertumpu kepada orang Islam saja, sebaliknya orang bukan Islam juga.

“Jangan kata ketidakadilan hanya berlaku kepada orang Islam sahaja... kalau mereka di luar Islam lebih ramai kahwin di bawah umur.

“Mungkin dalam konteks (negara) barat, had umur 18 tahun ke atas itu cukup umur, tapi dalam Islam, apabila akil baligh, seseorang itu sudah dikira cukup umur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 7:26 PM