FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


DRAF Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur kini dalam proses akhir untuk disiapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelan itu mengandungi program tindakan membabitkan 61 agensi peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Saya jangka pelan ini dapat dibentangkan menerusi memorandum Jemaah Menteri, hujung tahun ini.

“Beberapa langkah perlu dilakukan bagi mengekang perkahwinan bawah umur iaitu menerusi perundangan, selain mengenal pasti punca berlakunya perkahwinan bawah usia.

“Undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua - Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai usaha kerajaan bagi menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Katanya, sesi libat urus perlu dilakukan bagi menyeragamkan umur minimum kepada 18 tahun dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, Undang-Undang Adat dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan lain-lain dalam bentuk tatacara, kaedah dan garis panduan.

Dr Wan Azizah berkata, satu draf pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) sedang disediakan bertujuan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Menurutnya, enakmen dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda sekiranya negeri bersetuju dengan cadangan pindaan berkenaan.

“Sehingga kini hanya Selangor yang meminda enakmen ini, manakala Wilayah Persekutuan dalam proses melakukan pindaan.

“Lima negeri lain yang menyatakan persetujuan untuk meminda perundangan adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

“Selain itu, masih ada tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi masyarakat bukan Islam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan tiada keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

“Ini adalah kerana undang-undang sedia ada memperuntukkan dengan jelas had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.

“Pengecualian hanya diberikan kepada wanita berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Menteri atau Menteri Besar,” katanya.

Katanya, pengecualian berkenaan bagaimanapun, ditangani melalui mekanisme kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik bagi permohonan perkahwinan bawah umur yang mula berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:29 PM