GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEKSYEN 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2017 yang membenarkan perkahwinan pada usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, akan dikekalkan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk meminda enakmen berkenaan.

Beliau berkata, undang-undang itu sudah dibuat dengan teliti berasaskan siasah syariah dan situasi masyarakat setempat hari ini, untuk mengelak perbuatan salah seperti zina.

“Kita tidak akan bincangkan lebih panjang kerana undang-undang ini sudah dibuat dengan teliti. Kita kekalkan apa yang sudah diputuskan dalam enakmen itu.

“Jika ada sebarang perubahan yang hendak dibuat, ia perlu dirujuk kepada Jabatan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Terengganu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Diskusi Bersama Media di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilapor mengarahkan semua kerajaan negeri di Malaysia untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi orang Islam dan bukan Islam.

Sebuah akhbar memetik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang Chong Eng, mengesahkan perkara itu.

Mohd Nor berkata, walaupun had umur perkahwinan ditetapkan 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita di negeri ini, enakmen itu turut membenarkan remaja bawah umur untuk berkahwin tetapi perlu kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Di Terengganu, mereka yang berumur di bawah 18 atau 16 tahun boleh bernikah dengan kebenaran JHEAT, sekiranya mereka sudah dibuktikan layak dan perlu untuk berkahwin.

“Perkara ini dibenarkan kerana kita mahu menyelamatkan masyarakat daripada perlakuan zina dan masalah lain,” katanya.

Mengenai tentangan segelintir pihak terutama badan bukan kerajaan terhadap had umur perkahwinan di bawah 18 tahun itu, beliau berkata, pihak berkenaan tidak mengetahui mengenai isu zina dan seks bebas yang dilarang dalam Islam.

“Adakah kita rela melihat anak berusia 12 tahun berzina, sedangkan manusia ini apabila sampai akil baligh sudah layak untuk berkahwin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 4:52 PM