BAHARUDIN   (dua kanan)  memeriksa PATI sebelum diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut.
BAHARUDIN (dua kanan) memeriksa PATI sebelum diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Wanita bersama bayi berusia enam bulan antara 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi bersepadu di Seksyen 25 di sini, semalam.

Operasi bersepadu bermula jam 11 pagi yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria itu membabitkan 300 pegawai dan anggota IPD Shah Alam, Jabatan Imigresen Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam serta Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi itu bagi membanteras lambakan PATI, penjualan minuman keras secara haram serta menangani kes jenayah.

“Dalam operasi empat jam ini, 500 warga asing dibawa ke Balai Polis Seri Muda untuk pemeriksaan lanjut.

“Daripada jumlah itu, 97 ditahan iaitu 87 lelaki, sembilan perempuan dan seorang bayi perempuan.

“Semua yang ditahan warga Bangladesh seramai 39 orang, Nepal (23), India (10) manakala Indonesia dan Myanmar masing-masing sembilan orang.

“Turut ditahan warga Kemboja (tiga), Pakistan (dua) serta Vietnam dan Filipina masing-masing seorang,” katanya.

Baharudin berkata, semua yang ditahan diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut.

“Semua warga asing ini ditahan mengikut Akta Imigresen 15 (1)(c) 1959/63 tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 tiada pas atau permit.

“Kami turut merampas minuman keras yang dijual tanpa lesen dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana memiliki dan menjual minuman keras tanpa lesen sah,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu bersama bayi enam bulan Norhayati Arrde, 37, dari Surabaya, Indonesia berkata, dia bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah berhampiran.

“Saya datang ke Malaysia secara haram enam bulan lalu selepas rakan saya yang sudah lama bekerja di negara ini memberitahu ada kerja kosong,” katanya.

Ends....

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 9:52 AM