Norzamira Che Noh

POLIS merampas pelbagai jenis rokok seludup, minuman keras dalam tin dan botol bernilai RM90,100 menerusi beberapa operasi di sekitar Shah Alam, bermula 12 hingga 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai 71 individu ditangkap membabitkan 68 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan tiga warga tempatan berusia 17 hingga 45 tahun sepanjang Op Dadu Judi Online (Jol), Op Pati serta Op Premis dan Gerai Haram dijalankan.

Katanya, sebanyak 37 serbuan dijalankan terhadap 367 premis rumah kedai dan stor simpanan yang dikenal pasti menjual rokok seludup serta minuman keras.

"Hasil pemeriksaan terhadap premis, kita merampas 4,335 kotak rokok dan 2,929 tin serta 1,247 botol arak pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah RM90,100.

"Seramai 68 individu termasuk dua wanita membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Sri Lanka dan Pakistan ditahan sepanjang operasi ini manakala tiga warga tempatan yang ditahan adalah pekerja premis," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, rokok seludup dan minuman keras berkenaan dipercayai dijual secara terlindung iaitu menerusi pintu belakang premis untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Beliau berkata, kesalahan tiada dokumen perjalanan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

BAHARUDIN (kanan) menunjukkan antara rokok seludup serta minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
BAHARUDIN (kanan) menunjukkan antara rokok seludup serta minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 3:14 PM