GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 20 individu ditahan di sekitar Petaling Jaya selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi sembilan tangkapan operasi Covid-19 (Op Covid-19) dalam tempoh 24 jam, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan dilakukan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurutnya, tangkapan pertama pada 2.02 petang membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun di sekatan jalan raya jalan tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) PJS 2, kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya.

“Tangkapan kedua pada 2.30 petang menahan lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun di sekatan jalan raya tol Subang Kelana Jaya.

“Tangkapan ketiga menahan dua lelaki warga Indonesia dan perempuan warga Indonesia berusia 22 hingga 25 tahun jam 8.30 malam di sekatan jalan raya tol Kota Damansara keluar ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) kerana tiada dokumen pengenalan diri dan gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, tangkapan keempat pada 8.45 malam, polis menahan lelaki berusia 31 tahun di Jalan Sri Manja 11, Taman Sri Manja, Petaling Jaya, kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya.

“Tangkapan kelima pula membabitkan dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun yang sedang minum minuman keras di bawah Blok A, Pelangi Damansara pada 9.35 malam yang mana polis turut merampas 21 tin minuman keras pelbagai jenama.

“Tangkapan keenam pada 11.24 malam dengan dua lelaki berusia 20 dan 26 tahun di Jalan PJS 3/40 Sri Manja Squre kerana menunggang dan membonceng motosikal serta gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya,” katanya.

Beliau berkata, lima lelaki berusia 19 hingga 35 tahun ditahan pada 11.30 malam kerana berkumpul dan minum minuman keras di tangga tingkat 16 Blok 9, Desa Mentari 2.

“Polis kemudian menahan dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun yang menunggang dan membonceng motosikal dalam keadaan mencurigakan serta tidak mahu beredar walaupun amaran diberi sebanyak dua ke tiga kali di Jalan PJS 8/2 Mentari Business Park Sungai Way, Petaling Jaya, pada 12.40 tengah malam.

“Tangkapan terakhir membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 33 tahun di Bulatan Sultan, Pekan Baru, pada 1.10 pagi hari ini kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan menengking serta cuba melawan polis,” katanya.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua kerana kegagalan mereka boleh ditangkap dan didakwa di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 5:01 PM