Farah Suhaidah Othman


PENUMPANG bas wanita berusia 43 tahun maut manakala 12 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan dua lori di Kilometer 294.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan 5.45 pagi itu, mangsa Chan Kwai Fah yang duduk di tempat duduk penumpang di tingkat atas bas terbabit, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh ketika sedang menerima rawatan.

Difahamkan, pemandu lori kontena berusia 53 tahun beralamat di Taman Pengkalan Jaya, Ipoh, parah manakala 10 penumpang dan seorang pemandu bas serta pemandu lori cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata siasatan awal mendapati bas ekspres yang membawa 12 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan merempuh bahagian belakang sebuah lori dipandu lelaki berusia 52 tahun, yang berada di lorong kiri lebuhraya.

“Pada masa sama, sebuah lori kontena yang berada di laluan sama tidak sempat mengelak kemalangan itu, merempuh belakang lori terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kong Soon berkata, akibat kemalangan itu, seorang penumpang wanita meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPB pada 8.11 pagi dan bedah siasat dijangka dijalankan di Jabatan Forensik HRPB pada 2 petang.

“Seramai 10 penumpang dan seorang pemandu bas cedera manakala seorang lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori kontena yang parah masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di HRPB manakala pemandu lori hanya cedera ringan,” katanya.

Kong Soon berkata akibat kemalangan itu, hanya satu laluan dibuka kepada pengguna selama tujuh jam dan kesemua laluan dibuka semula pada 11.30 pagi bagi membolehkan kerja pembersihan jalan dilakukan.

Menurutnya, polis sudah menahan pemandu bas ekspres berusia 41 tahun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

14 cedera kemalangan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 5:59 PM