BAS ekspres dua tingkat yang terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Ipoh-Lumut. FOTO ihsan Polis
BAS ekspres dua tingkat yang terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Ipoh-Lumut. FOTO ihsan Polis
Shaarani Ismail


“Saya hanya tersedar selepas terdengar dentuman kuat ketika bas melanggar batu pembahagi jalan," kata Wan Mohd Amir Erfan Wan Mohd Amin, 19.

Penuntut jurusan Diploma Bangunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar itu adalah seorang daripada penumpang bas ekspres dua tingkat yang terbabit kemalangan di Kilometer 12.5 Jalan Ipoh-Lumut di Batu Gajah, hari ini.

Kemalangan kira-kira 5 pagi itu mengorbankan pemandu bas dan penumpang wanita yang juga penuntut UiTM, Seri Iskandar.

Wan Amir Erfan berkata, ketika kemalangan berlaku, hampir semua penumpang sedang tidur dan dia berada ditingkat atas bas berkenaan.

Katanya, akibat kejadian itu, kakinya tersepit dan dia kemudian terjatuh dari tempat duduk ke lantai.

"Ada yang menjerit, ada yang terhumban ke tempat duduk hadapan dan keadaan agak kelam kabut ketika itu.

“Sebelum kejadian saya perhatikan bas dipandu agak laju dan selepas kemalangan kebanyakan mangsa yang tidak mengalami kecederaan dan cedera ringan keluar sendiri dari bas.

"Keadaan di bahagian atas tidak begitu teruk tetapi saya lihat keadaan di bahagian tempat duduk di bawah banyak batu bertaburan kerana kesan hentaman dari bas," katanya yang ditemui di unit kecemasan Hospital Batu Gajah, hari ini.

Wan Mohd Amir Erfan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, keadaan menjadi kelam kabut selepas kejadian itu dan ada mangsa yang mengalami hidung berdarah manakala dia hanya mengalai luka calar akibat kaki tersepit.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Syamim Zikri Mat Zaki, 18, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di bahagian tempat duduk tingkat bawah dan patah tangan akibat terkena serpihan batu yang masuk ke dalam bas.

"Selepas kejadian tangan kanan saya tak berasa apa-apa kerana cedera terkena batu.

"Saya nampak pemandu dalam keadaan cedera kerana ada pergerakan sedikit tetapi tak tahu bagaimana keadaan sebenarnya akibat bahagian dalam bas apa sangat berdebu dan penuh habuk ketika itu," katanya yang duduk di belakang pemandu bas.

Mohammad Syamim yang patah tangan kanan berkata, ayahnya akan membawanya pulang ke kampung halaman di Besut, Terengganu dan akan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang lebih hampir dengan kediaman ibu bapanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Tan Boon Hooi, berkata, angka sebenar mangsa membabitkan pemandu dan seorang penumpang wanita yang maut, manakala 15 lagi penumpang cedera dengan tiga daripadanya parah.

"Dua daripada tiga yang parah kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, yang maut adalah Mohamad Azizul Che Aziz, 31, pemandu bas dan Munzirah Jalaludin, 20, yang juga penuntut UiTM Seri Iskandar.

Katanya, kemalangan berlaku di hadapan jalan Batu Gajah Perdana di mana bas ekspres berkenaan terbabas sendiri lalu melanggar pembahagi jalan.

Berita berkaitan:

Penuntut UiTM, pemandu bas maut

2 maut, 15 cedera nahas bas ekspres

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 1:27 PM